PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyambut baik saranan supaya semua Jabatan Agama Islam Negeri mengeluarkan garis panduan berhubung jumlah hantaran perkahwinan bagi mengelak ia terlalu tinggi.
Langkah itu juga bertujuan mengelak perkara berkaitan wang hantaran yang sebenarnya cuma hadiah pengantin lelaki untuk perempuan mencetuskan unsur riak, takbur atau perasaan menunjuk-nunjuk.
CAP memandang berat perkara ini atas dasar keprihatinan dan kepekaan bahawa hantaran perkahwinan melampau ini sebenarnya satu bentuk budaya bermegah, membazir yang tidak dituntut oleh agama.
Hantaran perkahwinan yang tinggi ini juga turut menggambarkan kepada kita bahawa masyarakat Melayu lebih gemar kepada budaya pembaziran dan suka bermegah sedangkan banyak lagi perkara lain yang perlu diutamakan khususnya membabitkan soal pendidikan.
Perkahwinan itu sememangnya sesuatu yang baik, malah kita seharusnya turut berdoa agar pasangan yang mendirikan masjid ini berkekalan jodohnya sehingga ke akhir hayat, tetapi pada waktu sama kita melihat bagaimana masyarakat kini lebih mengutamakan hantaran daripada mahar, lebih-lebih lagi hantaran yang terlalu tinggi maka perkara ini perlu dihentikan segera.
Hantaran perkahwinan yang tinggi juga boleh menyebabkan pihak lelaki turut terjebak dalam masalah hutang dan lebih membebankan mereka apabila sudah mempunyai anak kecil yang perlu disara.
Terperangkap dalam hutang dan tidak mampu untuk keluar daripadanya adalah antara trauma yang paling besar dalam hidup, ia boleh menyebabkan kita dibebani keresahan serta keluarga porak-peranda.
Satu sebab orang sering terperangkap dalam jerat hutang ialah kerana mereka berasakan perlu mengikut arus ‘tuntutan gaya hidup masa kini’, walaupun sebenarnya tidak mampu.
CAP menyedari betapa ramainya daripada kita yang kurang bijak dalam menguruskan soal kewangan serta menjadi bingung apabila berhadapan masalah kewangan kerana kurang arif mengenai cara menguruskannya.
Sikap sederhana adalah yang terbaik dalam semua perkara dan CAP mengharapkan semua pihak dapat mengamalkan sikap dan budaya ini. Gaya hidup melebihi kemampuan perlulah dielakkan.
Gaya hidup sederhana dan berjimat cermat perlu ditanam dalam kehidupan seharian dan gaya hidup yang mementingkan kemewahan, pembaziran serta pemborosan perlu dielakkan sama sekali.
S M MOHAMED IDRIS,
Presiden,
Persatuan Pengguna Pulau Pinang.
Berita Harian Selasa 08/05/2007
Followers
Hantaran kahwin biar sederhana
7:00 AM
hendrastar
Posted in
Nurani
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No Response to "Hantaran kahwin biar sederhana"
Post a Comment